Archive for the 'adik nurin jazlin' Category

Adik Nurul Nadhirah : Bila Manusia Melawan Fitrah

Imej

Bismillah walhamdulillah,

‘ kalau aku dapat sapa yang buat, memang aku cincang-cincang orang tu ‘

Mungkin itulah yang akan terdetik dalam hati kita .

Entri ini sebenarnya saya tulis sewaktu tragedi yang berlaku ke atas adik Nurin Jazlin beberapa tahun yang lalu, mungkin boleh dikongsi bersama lantaran peristiwa tragis yang Terus membaca ‘Adik Nurul Nadhirah : Bila Manusia Melawan Fitrah’

Sayangilah DIA

“Aku bengang lah dengan polis yang tembak orang kat Terengganu tu ! tak guna betul, arghhh ! buat ape aku nak pikir benda-benda macam tu, dia orang nak buat apa buatlah, nak tembak orang ke, nak tangkap orang masuk ISA ke, nak bunuh orang ke lantak dia orang lah, nanti kat akhirat, dia yang kena soal, bukan aku ! “

Siapa kata kita tak kena ? Adakah kita sedar jika kita berpandangan sedemikian, maka sebenarnya kita juga telah meletakkan diri kita bersama mereka ? dan kita juga telah merelakan mereka berbuat kezaliman.Ertinya di sini, apabila kita melihat saudara kita dizalimi, kita mengatakan kita tidak bertanggungjawab sehingga kadang-kadang kita merasakan kita telah terlepas daripada terkena bencana kezaliman, ini bermakna kita telah menyokong kezaliman itu.

Oleh sebab itulah, Hajjat Yusof As-Thaqofi, seorang pemerintah Islam yang zalim zaman dahulu , ketika meminta kepada tukang-tukang jahit pada zamannya supaya dijahitkan baju yang koyaknya, namun si penjahit tersebut tidak mahu menjahit bajunya. Ini adalah disebabkan sifatnya yang zalim pada waktu itu. Maka ada seorang tukang jahit yang bertanya kepada seorang ulama’ meminta dijawab persoalannya tentang apakah hukumnya dia menjahit baju Hajjat Yusof As-Thaqofi. Maka ulama’ tersebut pun menjawab,

“kamu bukan saja menolong orang yang zalim, bahkan kamu juga terdiri dari orang yang zalim”.

Inilah perkara yang perlu kita fahami. Sebab itulah menjadi tanggungjawab kita untuk menolong orang yang dizalimi dan menjadi tanggungjawab ke atas kita juga untuk menolong orang yang berbuat zalim dalam erti kata yang lain.

Mengapa perlu tolong ?

Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa orang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara. Oleh yang demikian, kita tidak boleh menganiaya, membiarkan, dan menghina orang Islam yang lain atas sebab telah menjadi tuntuan yang wajib untuk ditunaikan sebagai manusia yang beragamakan Islam untuk memelihara perpaduan di antara orang Islam yang diakui sebagai saudara. Bahkan kita juga wajib menghindarkan penganiyaan yang dilakukan.sekadar yang termampu tanpa membiarkannya.

Banyak peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran. Kes yang paling hangat, di Terengganu itu, walau kes tersebut seolah dah basi untuk diperbincang, namun hakikatnya, ia tetap dan mesti diperbincangkan sehinggalah kita tahu kebenaran. Inilah salah satu bukti yang paling jelas bahawa kita telah dizalimi.

Satu persoalan, dalam kes pembunuhan Adik Nurin Jazlin, kerajaan bersungguh untuk segera dalam mencari siapa yang melakukan pembunuhan yang kejam itu, akan tetapi dalam kes polis tembak rakyat di Terengganu, mengapa sunyi tanpa berita ? atau saya yang tak tahu undang-undang atau tak baca berita ?

Dalam kes Kampung Berembang, rumah penduduk di roboh sesuka hati tanpa ada toleransi, ini juga satu kezaliman. Kezaliman dalam bentuk yang lain, orang yang bersuara memberi ceramah, menceritakan kebenaran, dan orang yang ingin melaksanakan hukum Islam dimusuhi juga satu bentuk kezaliman. Sedangkan dalam program yang lain yang berbentuk keagamaan dibenarkan bahkan sanggup mengeluarkan wang beribu-ribu, contohnya dalam program pertandingan Tilawah al-Quran tapi mengapa tidak kepada orang yang hendak melaksanakan isi kandungan al-Quran ? Bahkan golongan tersebut dianiaya. Itu juga satu kezaliman.

Kenapa ? Tak percaya ya ? Maka di sini, tidak lain tidak bukan Islam adalah jalan penyelesaiannya.

Rasulullah S.A.W telah bersabda :

Tolonglah saudara engkau yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Ia berkata : Ya Rasulullah ! aku pernah menolong orang yang dizalimi maka bagaimana agaknya aku hendak menolong orang yang zalim ? Ia bersabda : Engkau tegah dia dari melakukan kezaliman, maka yang demikian itu bererti engkau menolong akan dia”

Pada hadith yang lain Rasulullah juga ada menyebutkan bahawa :

Barangsiapa yang tiada mahu menolong seorang mukmin yang sedang dihinakan orang di sisinya pada hal dia mampu menolongnya, akan dihinakan dia oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat. Sebaliknya pula orang yang menolong saudaranya dengan cara yang tersembunyi dalam perkara yang ia dapat menolongnya akan ditolong Allah akan dia di dunia dan akhirat “

Inilah hakikat kebenaran, dan hari ini kita dapat lihat betapa susahnya untuk menunaikan tanggungjawab tersebut. Kita juga dapat lihat berapa ramai yang sanggup bangun untuk menegakkan kebenaran ? Mungkinkah …

1- Kita merasakan tidak layak untuk mencegahnya atas sebab kekurangan yang ada pada diri kita ? Sebab itulah, dalam hal ini, kita bukan saja wajib menunaikan tanggungjawab untuk mencegah kezaliman dan kemungkaran orang lain, akan tetapi dalam masa yang sama kita juga wajib untuk menunaikan tanggungjawab mencegah kemungkaram dalam diri kita sendiri. Maka itu adalah adil.

2- Atau kita merasakan bahawa yang perlu untuk ditakuti adalah manusia, bukan Allah ? Rasulullah S.A.W berabda :

” Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman kepada seorang hamba pada hari kiamat, iaitu : Apakah yang menghalang engkau dari mengubah yang mungkar apabila engkau melihatnya ? Ia menjawab : Hai Tuhanku ! kerana aku takut kepada manusia. Lalu Allah berfirman : Engkau lebih berhak takut kepada Ku “

Memang tak dapat dinafikan, untuk kita menyatakan kebenaran dan yang salah adalah amat berat dan pahit untuk diterima. Namun jika ia dilakukan demi kebaikan umat maka ini adalah jihad yang merupakan satu perjuangan yang takkan terhenti. Maka lebih baiklah sekiranya ia dilaksanakan kepada golongan yang mempunyai pangkat dan kuasa sepertimana kerajaan yang memerintah negara Malaysia pada hari ini yang mentadbir dan mengurus masyarakat. Rasulullah S.A.W bersabda :

” Jihad yang utama ialah perkataan yang benar di sisi sultan (kerajaan yang zalim) ” Riwayat Abi Said

3- Atau kita ada kepentingan peribadi ? Mana lebih penting ? Islam atau perut kita ?

Jadi semua ini berhajatkan kepada suatu tindakan yang datang dari kesedaran kita semua. Memandangkan, dunia Islam hari ini makin mencabar yang mengandungi bermacam peristiwa kezaliman dan kemungkaran, maka tanggungjawab terpundak di bahu kita semua khususnya umat Islam, bahkan sekiranya tidak diambil kira semua ini melalui perspektif Islam itu sendiri, namun, melaui sifat perkimanusiaan, maka kita juga bertanggungjawab untuk memikirkannya. 

Moral : Jangan sokong kezaliman dan orang yang berbuat zalim. Sayangilah DIA. Sayang bukan tanda kita rela pada DIA, tapi sayang kerna DIA adalah saudara seagama kita

* DIA bermaksdud : pemerintah Islam yang tidak meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang selayaknya ( zalim ).

Sumber Rujukan : Kitab Syarah Hadis Empat Puluh Susunan Imam Nawawi

Al-Faqir ilallah : Life Of Aku

Bila Manusia Melawan Fitrah

Mendengar berita kematian adik Nurin Jazlin dibunuh dengan kejam, maka timbul satu pertanyaan, siapakah yang sanggup memperlakukan anak kecil tersebut dengan sedemikian rupa ? Manusia yang binatangkah itu ? Atau sudah tiada lagi istilah lain yang patut diberikan oleh manusia seperti itu ? Peristiwa tersebut harus dijadikan pengajaran buat kita semua. Dah banyak yang kita dengar, bukan pertama kali bahkan sudah berkali-kali kes seumpama ini terjadi. Kes orang tua dirogol, kes kanank-kanak didera, begitu juga dengan kes yang lain, rasuah dikalangan golongan ‘kolar putih’ dan bermacam-macam lagi telah berlaku sebelum ini.Dengan kelebihan akal yang diberikan kepada manusia, nampaknya ia masih tidak mampu membawa manusia sentiasa berada di jalan yang benar. Inilah realiti yang telah terjadi sejak dahulu lagi. Maka, bila membincangkan perkara yang berkait dengan realiti kehidupan manusia hari ini kita harus ingat sebenarnya kita banyak berdepan dengan cabaran, godaan, rintangan dan ujian. Inilah yang dikatakan ketetapan Allah swt.

Bagaimana semua ini boleh berlaku ?

Maka untuk menjawab persoalan ini, asas pertama yang perlu kita ketahui ialah mungkin kerana manusia itu sendiri telah melawan fitrahnya sebagai seorang manusia. Ini adalah perkara penting. Sebab itu bila manusia melawan fitrah asal usul kejadiannya maka dengan perbuatannya itu ia akan membawa kepada kemusnahan. Sedangkan Allah ada menyebutkan dalam kitabNya bahawa Allah telah menentukan fitrah manusia itu fitrah yang baik dan suci. Bahkan kita semua maklum kelahiran manusia di muka bumi ini telah disebutkan dalam hadis bahawa setiap kelahiran itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka dalam mendefinasikan lafaz fitrah, ulama’ telah bersepakat bahawa maksud fitrah itu memberi maksud islam iaitu yang bersih dan yang suci. Ertinya di sini, dapat digambarkan bahawa dalam sejarah peradaban manusia telah membuktikan sebenarnya manusia ini dalam keadaan yang tidak ada kekurangan. Namun begitu, realiti yang berlaku pada hari ini, manusia telah melawan fitrahnya.

Sabda Nabi :

Aku telah tinggalkan kamu dalam perjalanan yang cukup terang dan nyata, tetapi akan berlaku satu keadaan di mana tidak akan menyeleweng seseorang itu dari agama ini, melainkan dia membinasakan dirinya sendiri

Oleh yang demikian, kesimpulan yang dapat kita ambil ialah, manusia ini sebenarnya mudah terikut dengan godaan yang datang dari kumpulan makhluk samaada yang tersembunyi mahupun yang nampak iaitulah syaitan dan nafsu. Makanya di sini, sudah tentu kita tidak boleh membiarkan perasaan kita mengatasi agama kita, kita tidak boleh biarkan akal kita mengatasi kekuatan iman dan ilmu kita. Sebab itulah kita mesti memastikan laluan hidup kita dengan berasaskan agama, iman, ilmu dan ketaqwaan terhadap Allah S.W.T. Justeru, menjadi kewajipan ke atas kita untuk sentiasa dalam keadaan memohon petunjuk kepada Allah S.W.T. Kita juga telah jelas di dalam al-quran yang menuntut kita untuk meminta supaya sentiasa diberi hidayah dan petunjuk sepertimana yang disebutkan di dalam surah al-Fatihah. Begitu juga disebutkan di dalam ayat yang lain, bahawa Allah menuntut kita supaya mengikut jalanNya dan melarang daripada mengikuti jalan yang selain dariNya. Jika sebaliknya, maka kehidupan kita akan binasa.

Imam Al-ghazali ada menyebutkan, sekiranya kita mahu selamat di dalam keadaan yang berterusan hingga hari akhirat, maka kita perlu kenal tiga perkara :

1- Kita perlu kena fitrah kita sebagai seorang manusia yang ingin kebaikan. Hal ini sudah jelas, manusia mana yang tidak berhajatkan kepada sesuatu yang baik-baik ?

2- Kita perlu kenal siapa musuh kita sepertimana yang telah disebutkan tadi. Samaada musuh dalam selimut ataupun di luar selimut.

Rasulullah S.A.W sendiri ada memberitahu bahawa orang beriman ini akan menghadapi beberapa cabaran yang mana kita perlu mempersiapkan diri kita agar kita takkan terpedaya, tergoda dan ternoda dengan cabaran-cabaran tersebut antaranya ialah :

a- mukmin yang hasad

b- kafir yang membunuh

c- syaitan yang sentiasa menyuruh kepada kejahatan

d- nafsu yang sentiasa melawan

3- Kita perlu kenal alam abadi iaitu alam akhirat di mana kita akan kekal hidup di sana buat selamanya.

Inilah tiga perkara yang mesti kita ambil cakna di mana sebenarnya kita akan berhadapan dengan musuh yang sekiranya kita tidak dapat menangkis serangannya, maka binasalah hidup kita.

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji , dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui . Surah al-Baqarah : 168-169

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang . Surah Yusuf : 53

Maka, sudah tentu di sana ada satu perkara yang lebih penting dan teramatlah penting iaitulah kita mesti kembali kepada Islam itu sendiri. Jika kita benar-benar berpegang kepada Islam, sudah tentu peristiwa-peristiwa yang tidak diingini seperti rasuah, kes rogol, kes bunuh, zina dan yang seumpama dengannya tidak akan berlaku.

a

Takziah diucapkan kepada keluarga adik Nurin Jazlin. Al-Fatihah buat rohnya.


" Sesungguhnya setiap keturunan anak adam ada melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah orang-orang yang bertaubat . Allah maha pengampun, janganlah kau putus asa. "

My Entries

Hits Counter

  • 108,962 Pengunjung