Bala Ustat Kadir

lebai2

Wak Yatin. Siapa tak kenal dengannya. Tokei kedai runcit yang bermulut durja. Sebut saja Wak Yatin, semua penduduk Kampung Ketapang tahu dia bermusuh sangat-sangat dengan Ustat Kadir. Ustat Kadir bukanlah berasal dari kampung Ketapang. Dia berasal dari Sabak Bernam dan bertugas sebagai guru sekolah KAFA di kampung tersebut.

Ustat Kadir seorang yang hebat, bukan saja pandai mengajar, tapi dia juga pandai mengubat orang yang terkena rasuk hantu, dan macam-macam penyakit. Namun, dia masih belum dipertemukan jodoh. Keilmuannya merentasi kerjayanya sebagai guru KAFA. Ustat Kadir pernah ‘mondok’ di Kelantan, pernah juga bertalaqqi di masjid-masjid bersama ‘Masyaikh’ di Mesir dan juga India.

Alkisahnya dia dimusuhi sangat-sangat oleh Wak Yatin ialah kerana mulut Ustat Kadir yang penuh tulus itu, memberi nasihat kepada Wak Yatin agar tidak mengurangkan timbangan ketika berjual beli. Teguran Ustat Kadir sememangnya berasas. Ramai penduduk kampung dah terkena dengan perangai ‘cengkelat’ Wak Yatin itu. Kadang-kadang melebih-lebih pula. Bibik Yatimah besan kepada Wak Yatin, pernah menceritakan dekat Ustat Kadir, yang dia pernah membeli sekilo ikan tamban dan barang-barang dapur kepada di kedai Wak Yatin. Sampai di rumah, Bibik Yatimah cuba belek-belek ikan tambannya itu, dan didapati ikannya itu beratnya tak sampai sekilo. Lalu diambilnya timbang dekat dapur, nyata sungguh beratnya tak sampai sekilo. Begitu juga yang menimpa orang-orang kampung yang lain.

Jadi, disebabkan mulut durja dan hati batu yang dah terpaku dalam diri Wak Yatin itu, maka Ustat Kadir di maki-makinya.

” hei, bala ! kau tu dahlah orang luar , jangan buat pasal ! “

Selalu benar perkataan ‘bala’ di lafazkan oleh Wak Yatin. Namun, Ustat Kadir tetap sabar dan buat macam tak ada apa-apa yang berlaku. Dia boleh dikatakan permata di kampung tersebut kecuali bagi Wak Yatin. Bagi Wak Yatin, Ustat Kadir tak lebih membawa bala kepada perniagaannya. Satu lagi perkara yang ramai orang tahu ialah, anak dara Wak Yatin yang macam ‘pelesit’ perangainya. Mentang-mentang kerja di KL. Balik lewat-lewat malam dengan kereta BMW 5 Series nya buat bising dekat simpang. Satu kampung di bawa geng-gengnya yang sama perangainya. Orang kampung bukan saja meluat, bahkan pelik tengok perangai anak Wak Yatin sorang tu. Apa tidaknya, senakal-nakal anak dara kat Kampung Ketapang tu taklah sampai tengah-tengah malam dok melepak. Agaknya itulah hasil didikan Wak Yatin. Apa yang Wak Yatin tahu, anaknya itu hebat sebab kerja di KL. Hari-hari, diceritanya saja pasal ‘hebatnya’ anak dara ‘pelesit’ itu dekat pelanggannya. Yang lebih teruk lagi, anaknya tu ‘menonggang’ atau bahasa bandarnya minum arak. Itulah yang buat Wak Yatin sangat-sangat benci dekat Ustat Kadir. Pernah satu malam, Ustat Kadir bagi nasihat kat anak daranya itu, tapi anak dara Wak Yatin buat tak tahu dan tak cukup dengan itu, Ustat Kadir di ludah-ludahnya.

Budak-budak rempit kat kampung pun tak tahu nak cakap apa. Anak dara Wak Yatin bukan saja bawa geng-geng perempuan, tapi ada juga geng-gengnya yang lelaki semacam ‘bonzer’ ala-ala bodyguard. Masing-masing ototnya berketul-ketul. Itu yang buat budak rempit Kampung Ketapang tak berani kacau. Jadi , masalah itu , orang kampung serahkan kepada Ustat Kadir. Lurah Kampung Ketapang tak berani nak kata apa-apa, sebab Wak Yatin tu kawan baiknya dan kenal perangai Wak Yatin tu yang ‘bodoh-bodoh’ berani. Hasilnya, penduduk kampung hanya terlopong dan tak berani nak menempik walau sepatah kata kepada Wak Yatin. Tapi di Kampung Ketapang , kedai Wak Yatin sajalah yang wujud. Nak diharap kan kedai dekat pekan tu, kena naik baslah jawabnya. Penduduk Kampung Ketapang orang-orangnya bukan kaya-kaya kecuali Wak Yatin sorang tu. Itupun kaya sebab menipu ‘time’ berniaga.

Kes Wak Yatin dan anak dara pelesitnya bukan isu kecil-kecilan di Kampung Ketapang, ia dah jadi isu ‘global’ yang buat orang kampung runsing. Macam-macam nasihat yang Ustat Kadir dah beri tapi Wak Yatin makin ‘membatu’. Lebih dahsyat lagi Wak Yatin dah buat macam-macam rancangan ‘bodoh’ untuk mengajar Ustat Kadir yang dianggapnya sebagai bala.

” Bala betullah Ustat Kadir ni ! “

Hari-hari itulah yang diucapkan oleh Wak Yatin. Suatu malam dia telah merancang nak kenakan Ustat Kadir. Apa lagi, anak dara pelesitnya di jadikan kuli pada malam itu. Bukan kuli paksaan, tapi kuli yang ikhlas. Masing-masing berpakat dengan penuh riang. Wak Yatin menyuruh anak daranya supaya dijerat Ustat Kadir biar sampai orang kampung tahu yang Ustat Kadir buat benda yang tak elok dekat anak daranya. Macam biasa, setiap kali lepas Isya’, Ustat Kadir akan berjalan kaki dari masjid menuju ke rumahnya. Sampai saja Ustat Kadir di jalan yang telah dirancang oleh dua beranak durja itu, maka

” tolong ! tolong ! ” anak dara Wak Yatin mulakan episod menjerat dengan suara meminta tolong

Maka apa lagi, Ustat Kadir tercari-cari suara itu dan dilihatnya suara itu berada di sebelah parit dekat kebun kopi. Ustat Kadir apa lagi, terus melompat dan melihat yang menjerit itu rupanya anak dara Wak Yatin. Dengan cemasnya, Ustat Kadir minta penjelasan kepada anak dara Wak Yatin itu tentang apa yang berlaku. Tak semena-mena, badan Ustat Kadir di rangkul-rangkul erat di selang seli dengan jeritan meminta tolong oleh anak dara Wak Yatin.

” astaghfirullah ” hanya itulah yang dapat dilafazkan oleh Ustat Kadir sambil badannya kaku seketika.

Dalam sibuk-sibuk Ustat Kadir melawan rangkulan anak dara Wak Yatin, tak sampai seminit pun, muncul beberapa orang berserban dan berketayap putih di tempat itu. Antara yang ada ialah Wak Yatin sendiri. Budak-budak rempit kampung juga tak ketinggalan. Lalu, Ustat Kadir diheret , dan ada juga budak-budak rempit yang mengambil kesempatan untuk ‘merembatnya’. Ustat Kadir seakan merelakan dan dia hanya mampu berdoa pada waktu itu. Ustat Kadir tahu, ini adalah perancangan jahat Wak Yatin dan anak daranya. Waktu itu, macam-macamlah mulut-mulut jahat yang melemparkan kata-kata cacian dan tak ada seorang pun yang cuba nak mempertahankan Ustat Kadir melainkan mereka semua percaya bulat-bulat. Ustat Kadir di bawa ke rumah Pak Lurah. Di sana, masing-masing mencadangkan supaya Ustat Kadir di bawa ke balai polis. Cadangan itu diterima bulat-bulat oleh Wak Lurah lantas dengan berikat tali guni, Ustat Kadir pun di bawa ke balai polis. Atas sebab saksi-saksi yang di bawa semuanya berpakat menuduh Ustat Kadir , maka Ustat Kadir di sahkan bersalah dengan menerima hukuman dua bulan penjara, kemudian di buang daerah. Ustat Kadir lansung tak buat rayuan atau minta siapa-siapa mempertahankannya. Itulah sifat mulia yang ada pada diri Ustat Kadir yang tak ada pada penduduk Kampung Ketapang.

Apalagi, orang yang paling gembira ialah Wak Yatin, sebab Ustat Kadir bala dah tak bawa bala lagi. Ustat Kadir telah banyak buat Wak Yatin tersentak dengan ceramah-ceramahnya yang pedas-pedas menyindir perbuatan menipu di dalam jual beli, hukum minum arak dan menyakiti hati orang lain. Semua sifat itu ada pada diri Wak Yatin sorang, termasuklah anak dara pelesitnya. Itu yang buat Wak Yatin gila dan sungguh-sungguh nak buat Ustat Kadir merana.

Namun, kegembiraan Wak Yatin hanya seketika. Bala Ustat Kadir benar-benar belum hilang. Malam selepas Ustat Kadir merengkok di penjara, kedai Wak Yatin di rompak. Duitnya habis dirampok oleh penyangak mana pun tak diketahui. Waktu itu, Wak Yatin separuh gila sehinggan sekeliling kampung di bawanya parang guna untuk menetak kepala perompak tersebut. Namun, usaha gilanya itu sia-sia, sehinggalah satu ketika itu, sedang marahnya tidak habis-habis, sewaktu di jalan , dia terjatuh dari motosikal. Apa lagi, kakinya terseliuh dan membengkak. Rupanya , kejadian malang itu adalah permulaan episod bala Ustat Kadir yang tak hilang. Kakinya terus membusuk dan bernanah. Entah apa sebabnya, walhal kakikanya itu hanya bengkak. Wak Yatin tak habis-habis melolong kesakitan sambil disebut-sebutnya nama Ustat Kadir.

” ini semua bala Ustat Kadirlah ni ! “

Setelah beberapa hari, keadaannya semakin teruk. Wak Yatin mula perasaan keadaannya yang semakin pelik ditimpa macam-macam bala. Kakinya yang bernanah terus melarat hingga ke bahagian perut. Wak Yatin dah tak tahu buat apa lagi melainkan menangis seperti bayi baru lahir. Namun, semua itu lansung tidak menginsafkan Wak Yatin. Hati batunya terus keras dan semakin keras. Mencarut-carut sudah menjadi perkara biasa. Dia tiada siapa melainkan jirannya yang baik itu selalu menjaganya. Isterinya mati 10 tahun yang lalu akibat di serang sakit jantung . Anak daranya pula dikatakan, terlantar di hospital akibat HIV positif yang baru dikesan. Wak Yatin memang sudah tertutup hatinya. Rasa taubat tak pernah terpikir dan tak terjangkau oleh akalnya. Sebulan dia terus begitu. Nasihat jirannya yang menyuruh supaya banyak-banyak beristighfar lansung tak dihiraunya. Yang dia tahu, hanya terpekik terlolong. Waktu yang dahsyat dirasai bila mukanya pula bernanah-nanah. Waktu itu, wak yatin terus-terus menangis kesakitan. Dia tak terpikir lansung pasal dosa-dosanya yang telah dilakukan apatah lagi dosanya terhadap Ustat Kadir. Akhirnya, hidup wak yatin berkahir dengan penuh laknat. Bala Ustat Kadir mengena kepadanya. Sampai sekarang, tiada seorang pun tahu yang Ustat Kadir difitnah, melainkan sekiranya anak dara Wak Yatin membongkarkannya. Ustat Kadir dianggap bala di sisi manusia , tapi penuh dengan kasih sayangNya. Penduduk kampung dan Wak Yatin teruslah hidup bergelumang dengan dosa.

Tammat

Moral :

1- Fitnah adalah dosa besar

2- Sabar menjadikan kita mulia

3- Jangan mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan, apatah lagi bila ia ditujukan kepada seorang yang dekat dengan Allah dan dipandang mulia

4- Jangan menipu dalam setiap perkara. Begitu juga dalam jual beli

5- Bertaubatlah sebelum ajal sampai. Jangan bila sampainya ajal kita, baru kita nak kata

” sesungguhnya aku telah bertaubat sekarang ” ketahuilah orang seperti itu tidak mati melainkan matinya di dalam keadaan kafir

6- Berkatalah dengan perkataan baik-baik apatah lagi bila berkata-kata dengan orang yang muli aseperti ibu bapa, ulama, guru-guru dan orang tua.

7- Laksanakanlah amar ma’ruf nahi mungkar dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab

Wallahua’lam

* kisah ini adalah rekaan semata-mata tapi ianya adaptasi dari sesetengah realiti kehidupan kita. Cerpen ini di nukil sebagai pengajaran dan muhasabah bersama. Sekian ….

0 Responses to “Bala Ustat Kadir”



  1. Tinggalkan Komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




" Sesungguhnya setiap keturunan anak adam ada melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah orang-orang yang bertaubat . Allah maha pengampun, janganlah kau putus asa. "

My Entries

Hits Counter

  • 107,817 Pengunjung

%d bloggers like this: