Fitnah Dan Bala : Kelirunya Masyarakat Kita

Tidak lama selepas artikel Bila Bala Datang Menjelma yang saya paparkan, saya ada menerima satu komen daripada insan yang prihatin mengenai artikel tersebut di dalam blog ini, Saya rasa ulasan dan hurainnya yang beliau berikan begitu jelas dan mudah untuk difahami, di mana perlunya masyarakat kita mengetahui definasi bala agar tidak berlaku lagi kekeliruan. Dalam ulasannya, beliau juga ada menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan fitnah mengikut erti kata yang sebenar. Moga dengan perkongsian ilmu ini dapat membantu dan memberikan manfaat kepada kita semua.

Makna Fitnah dan Bala
Oleh Kang Kolis

Sebahagian besar masyarakat Melayu baik di Malaysia mahupun di Indonesia telah keliru dalam memahami makna beberapa kata serapan yang berasal daripada bahasa Arab, khususnya kata fitnah dan bala, sehingga mengakibatkan kesilapan dalam memahami pesan ajaran agamanya, kerana Al-Quran sebagai sumber ajaran agama Islam diwahyukan dengan menggunakan bahasa Arab.

Fitnah dan Bala dalam budaya Melayu

Kata fitnah dalam budaya Melayu diertikan sebagai
umpatan, gunjing, gujirak, celaan, hujat, dan tuduhan jahat yang diada-adakan/dibuat-buat. Jadi, fitnah dalam budaya Melayu bermakna perbuatan menjelekkan orang lain baik dengan cara mencela, menghasut, atau menggunjing supaya orang lain itu hilang harga dirinya. Sila perhatikan contoh ayat:“Jangan memfitnah! kerana fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan”
Sementara, Fitnah dalam Bahasa Arab ertinya perbezaan-perbezaan pendapat manusia dan kegoncangan pemikiran mereka (Kamus Al-Muhith dan Mu’jam Al-Wasith). Manakala salah seorang ulama ahli tafsir Al-Quran, Syaikh Muhammad As-Syinqity menjelaskan:“Penelitian Al-Quran menunjukkan bahawa kata fitnah dalam Al-Quran jika disebut secara mutlak memiliki makna cubaan dan ujian serta hasil yang jelek daripada cubaan. (Lihat Adhwa’ul Bayan 6: 254-255).

Dengan demikian, secara istilah fitnah dalam bahasa Arab dapat diertikan sebagai perpecahan yang timbul antara sesama sendiri, sehingga ketenangan fikiran sudah tidak wujud, oleh sebab antara satu dan lainnya saling tuduh-menuduh, cemburu-mencemburui dan salah-menyalahkan, sehingga timbul kehancuran.

Kesilapan masyarakat Melayu dalam memahami makna fitnah menimbulkan dampak khususnya dalam kehidupan moral beragama, kerana fitnah disamakan dengan perbuatan menghasut, menghibah, dan mencemarkan nama baik seseorang. Bahkan, menurut sebahagian ahli kanun perbuatan menghasut, menghibah, dan mencemarkan nama baik itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Ini sama sekali tidak benar sebab dalil yang digunakan iaitu al-fitnatu asyaddu min al-qatl (fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan) tidak mengandung pesan atau larangan melakukan hasutan atau tuduhan yang tidak berdasar. Cuba bayangkan, kalau dalam Islam hukuman tertinggi bagi penjenayah dalam kes pembunuhan dengan sengaja adalah dibunuh (qishash) maka hukuman apa yang sesuai diberikan kepada pemfitnah? Sedangkan fitnah itu kata orang Melayu lebih kejam daripada pembunuhan. Tentu setiap jenayah itu ada hukumannya, namun hukuman memfitnah dalam budaya melayu tidaklah seberat itu.

Ayat Al-Quran tentang fitnah (alfitnatu) sebagaimana disebutkan di atas, sebenarnya berkaiterat dengan kes peperangan (alqotl) yang harus segera diselesaikan sebab kalau tidak nescaya ia akan menimbulkan malapetaka bagi masyarakat ramai. Malapetaka dahsyat yang menjejaskan seluruh lapisan masyarakat itulah sebenarnya yang dimaksud fitnah menurut bahasa agama sebagaimana dikatakan oleh ayat Al-Quran yang lain:

“Dan peliharalah dirimu daripada fitnah yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja antara kamu” (Al-Anfal: 25).

(Lihat Tafsir Ibn Katsir, 1988: 558-560. Bandingkan dengan Hamka 1999: 2724-2726). Malapetaka itu boleh diakibatkan sama ada oleh peperangan seperti fitnah al-kubra (kekacauan besar), fitnah ‘Ali (huru-hara pada masa Ali), fitnah Muawiyah (Huru-hara pada masa Muawiyah) dan lain-lain mahupun oleh sebab lain. Bencana alam tsunami pada Disember 2004 yang mengharubirukan bumi Aceh (Indonesia), Kuala Muda (Kedah), Phuket (Thailand), Galle (Sri Lanka), Chennai (India), telah mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, orang dewasa, lelaki, perempuan, penjenayah, tuan guru, tentera dan banyak lagi yang lain, juga termasuk fitnah yang diakibatkan oleh bencana alam. Kata fitnah dalam bahasa al-Quran sebenarnya mirip dengan musibah, tetapi berbeza dengan bala. Penjelasan tentang masalah ini boleh ditulis pada kertas yang lain.

Bala dalam budaya Melayu

Kata bala berasal daripada bahasa Arab bala’, secara bahasa dalam K
kamus Bahasa Melayu diertikan sebagai:
gerombolan, pasukan (tentera), kemalangan, kegeruhan, kecelakaan, musibah, bencana,dll.

Dengan demikian, orang melayu mengartikan bala sebagai kejadian buruk yang berlaku ke atas seseorang atau sesuatu tempat berupa kemalangan, bencana alam, dan lain-lain. Oleh sebab itu, manusia mesti lari daripada bala itu dengan cara apapun. Antaranya, muncul pelbagai kegiatan ritual amalan tolak bala yang dilakukan baik secara persendirian atau secara bersama-sama dalam satu kelompok dan masa tertentu. Para petani melakukan upacara tolak bala ketika datang musim tanam padi dan atau menjelang panen raya.

Dalam bahasa Arab dan al-Quran bala bermaksud ujian baik dan ujian buruk yang dihadapi seseorang. Bala (cubaan) pula boleh merupakan dalam perkara baik dan perkara tidak baik, menurut kamus tersebut. Jadi yang dimaksud bala dalam agama itu bukan hanya bencana sahaja, tetapi kemewahan hidup pun juga termasuk bala.

Allah berfirman: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai bala (cubaan), dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan” – (al-Anbia’: 35).

Semua bala, sama ada seperti yang dimaksudkan dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Arab dan al-Quran adalah datang daripada Allah yang diturunkan kepada umat manusia sebagai ujian kenaikan darjah. Mereka yang lulus ujian akan dinaikkan darjah kehidupannya ke darjah yang lebih tinggi (liyabluwakum ayyukum ahsanu amala). Sedangkan bagi yang tidak lulus akan tetap diuji hingga lulus.

Dengan demikian, tindakan represif menolak datangnya bala tidak perlu dilakukan, tidak perlu lagi upacara-upacara dan doa tolak bala, tetapi bagaimanapun manusia memang perlu tindakan prefentif agar bala tidak menggoyahkan imannya. Di sini manusia perlu pertolongan Tuhannya agar kuat, tabah, dan sabar dalam menghadapi ujian-Nya yang akan selalu ada selama hayat masih di kandung badan.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah al-Qulub, ”Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, sehingga rela dan bersabar.”

Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Setiap ujian pasti akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza. Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., “Siapakah orang yang paling berat cubaan-bala-nya?” Jawab baginda, “Antara orang-orang yang paling berat cubaan-bala-nya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar ilmu agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar ilmu agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya”. (Riwayat Tirmizi)

Akhirnya, dapat disimpulkan bahawa kesilapan dalam memahami symbol bahasa agama boleh menjejaskan praktik keberagamaan seseorang, sehingga perlu ada maklumat tentang hal ini bagi meluruskan pola kehidupan moral agama mereka. Jangan putus asa, jangan lari daripada kenyataan, kita perlu menghadapi segala kejadian dengan shaja’ah keberanian dan futuwwah, kesatria. Wallahu a’lam.
demikian pendapat Kang Kolis

Life Of Aku

4 Responses to “Fitnah Dan Bala : Kelirunya Masyarakat Kita”


  1. 1 Agensi Perisikan Januari 5, 2008 at 3:51 am

    Assalammualaikum…
    Bro, sy suka blog ni. Sy add dkt blogroll ok.
    Mohon izin eh..tq

  2. 2 Life Of AKU The Episode Januari 6, 2008 at 6:02 pm

    Waalaikumussalam

    silakan … boleh saja, terima kasih

  3. 3 dila Ogos 8, 2009 at 9:03 am

    salam..saya tertarik dengan fitnah dan bala yang menjadi kekeliruan masyarakat kita ini ada kaitan dengan kesilapan dlm memahami al-quran kan..emm boleh bagi tau mane leh dapat rujukan tuk tajuk ni?.thanks wsalam,


  1. 1 Tazkirah Jumaat: Fitnah & Bala « On Da Street Jejak balik bagi April 28, 2011 at 4:13 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




" Sesungguhnya setiap keturunan anak adam ada melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah orang-orang yang bertaubat . Allah maha pengampun, janganlah kau putus asa. "

My Entries

Hits Counter

  • 107,817 Pengunjung

%d bloggers like this: