Sepi tanpa berita

Bukan mudah hendak menulis, hanya itulah ungkapan yang mampu saya lontarkan sepanjang beberapa hari yang saya tinggalkan tanpa secuit kata di dalam blog ini. Banyak juga berita-berita terkini yang saya tidak ketahui, saya seolah mati kutu untuk semua ini. Masa yang ada banyak dihabiskan dengan kerja-kerja luar (banyak berjalan ke sana sini) . Mungkinkah kerana masa untuk saya menikmati keindahan bumi anbiya’ ini hampir tiada lagi atau ? Kalau dicongak-congak, tinggal 36 hari saja yang saya ada sebelum kaki ini meninggalkan jejaknya. Waktu inilah pula datang bermacam-macam perancangan yang berbondong-bondong walhal kalau ikut logiknya mana mungkin saya boleh selesaikan kesemuanya.
Beberapa hari yang lalu
Saya menghadiri satu majlis ‘bentang dan bincang’ dengan beberapa orang teman. Antara topik yang dibentangkan ialah berkisar tentang sirah Rasulullah s.a.w yang bertajuk ‘Baiatul Aqobah’. Perbincangan kami berjalan dengan ceria dan bertenaga walau pada awalnya sedikit hambar. Satu aktiviti yang dah lama saya tinggalkan. Waktu itulah kita dapat kembangkan dan berkongsi ilmu yang kita ada. Saya rasa cara berbincang dalam kumpulan ini adalah satu cara yang praktikal untuk kita belajar bercakap di hadapan orang ramai selain menambahkan lagi ilmu kita. Apa pun, pendekatan ini dah pun kita ketahui cuma dengan adanya bermacam-macam istilah contohnya usrah, study group, halaqah muzakarah dan yang seumpama dengannya. Cuma nama yang saya berikan (bentang dan bincang) itu sekadar penyedap kata saja manakala matlamatnya tetap sama. Walaupun ramai yang telah berjinak dengan majlis seumpama ini, namun tidak kurangnya juga masih ada dikalangan kita yang mengambil enteng tentang perkara ini. Tak ramai yang berminat untuk menghadiri program-program seperti ini walaupun telah dipromosikan oleh pihak-pihak tertentu. Saya lebih suka fokus kepada realiti yang berlaku di sekitar saya (mahasiswa). Adakalanya persatuan pelajar bersusah payah mengedar iklan ke rumah-rumah ahli untuk mempromosikan program-program anjurannya, dalam masa yang sama sambutan yang diberikan amatlah mengecewakan. Sedikit bangat yang dapat memberikan komitmen. Apakah yang menjadi penghalangnya ? Sama-samalah kita fikirkan .
Tidak lama selepas itu

Saya teruskan langkah saya menuju ke rumah. Dalam perjalanan saya dikejutkan dengan satu bunyi. Dentuman sebungkus plastik berisi sampah yang ‘jatuh dari langit’ ke atas bumbung lori sampah. Sedikit serpihan sampah mengenai saya. Nampaknya tahap kesabaran saya diuji. Namun, marah yang membara itu membuatkan saya tersentak dengan kisah lalu. Kalau tadi, orang sesuka hati campak sampah dari atas, saya marah, bagaimana sampah yang pernah saya campak dari tingkap rumah saya suatu masa dahulu ? saya terpaksa akur dan akhirnya tiada apa-apa tindakan susulan melainkan marah yang semakin reda. Amalan (membuang sampah sesuka hati) itu adalah amalah yang tidak bermoral.
Malamnya
Saya panjangkan langkah saya ke pasar telefon bimbit di Attaba (sebuah pekan yang terkenal di bandar Kaherah). Siangnya saya marah, namun kali ini saya pula yang kena marah. Saya dimarahi oleh pemilik kedai telefon bimbit. Alasannya : saya tidak membeli telefon bimbit jualannya. Saya keluar bersahaja dari kedainya dengan perasaan sedikit terkilan dan tersentak. Rasa dunia ni kecil saja bila menghadapi situasi begitu. Saya dimarahi di hadapan orang ramai. Pengalaman hidup melihat ragam orang arab Mesir, saya akur dan benar-benar memberikan keinsafan. Melihat orang yang bersikap kurang sopan, mengingatkan diri saya yang sungguh kerdil ini. Kadang-kadang kita marah yang teramat sangat dengan perlakuan yang tertimpa kita, tapi kita lupa sebenarnya suatu masa dahulu kita juga pernah melakukannya ke atas orang lain. Hikmat itu ada di mana-mana. Saya hentikan langkah saya di pasar Attaba, dan menuju pulang ke rumah.





Komen Terkini